Ads 468x60px

Jumaat, 12 Julai 2013

Kesalahan-kesalahan dalam bacaan al-Quran

Pada tulisan kali ini,saya ingin berkongsi dengan pembaca semua tentang jenis-jenis kesalahan yang selalu berlaku ketika kita membaca al-Quran.Kalau diikutkan terlalu banyak kesalahan yang dilakukan oleh pembaca-pembaca al-Quran.

Antaranya ialah tidak menyempurnakan sifat-sifat huruf,membunyikan bacaan qalqalah dengan kurang tepat,melakukan kesalahan bacaan pada huruf sakinah,kadar bacaan mad yang tidak tepat dan banyak lagi.

Tetapi melalui pengalaman dan hasil pembacaan saya dari kitab-kitab rujukan ilmu tajwid,semua jenis kesalahan ini dapat dipecahkan atau dikategorikan kepada dua jenis kesalahan.Dua jenis kesalahan inilah yang akan saya fokuskan dalam tulisan pada kali ini.

Dua jenis kesalahan tersebut ialah:

(i) Kesalahan Yang Nyata (Al-Lahnul Jaliyyu)
Contoh-contoh kesalahan yang berlaku dalam kategori ini ialah seperti kesalahan ketika menyebut huruf samada yang membawa kepada perubahan makna atau tidak.Seperti kita menukarkan bacaan huruf  ‘to’ kepada huruf ‘ta’.

Huruf  ‘to’ dan huruf  ‘ta’ datang dari makhraj yang sama iaitu hujung lidah diangkat menekan pada gusi gigi gunting sebelah atas.Dari pengalaman saya ketika mengajar,kesalahan yang selalu dilakukan oleh pelajar saya ketika menyebut huruf  ‘to’ ialah mereka meningggalkan sifat isti’la’ yang ada pada huruf tersebut.Maka huruf  ’to’ bertukar menjadi huruf  ‘ta’.

Termasuk juga dalam bahagian ini kesalahan yang berlaku pada tanda bacaan samada yang membawa kepada perubahan makna atau tidak.Contohnya seperti ‘alhamdulillah’ dibaca dengan ‘alhamdalillah’.

Asalnya huruf  ‘dal’ berbaris hadapan tetapi dibaca dengan baris diatas.Kesalahan-kesalahan ini dihukumkan haram dan berdosa.Jadi pastikan anda tidak melakukan kesalahan-kesalahan begini ketika membaca al-quran.Sekiranya kesalahan begini berlaku dalam bacaan sembahyang,maka hukumnya sembahyang itu tidak sah.

“Aduh!Rupa-rupanya solat aku tak sah selama ni!”

Ya pembaca sekelian.Sembahyang kita menjadi tidak sah kalau kesalahan-kesalahan diatas berlaku dalam solat kita.Nasihat saya,untuk permulaan anda dengarkan dan perbetulkan dahulu bacaan dalam solat kepada guru-guru yang ahli.Kemudian pastikan anda belajar tajwid al-Quran supaya bacaan al-Quran anda betul.

Kesalahan ini dinamakan kesalahan yang nyata kerana kesalahannya dapat dikesan oleh ahli-ahli pembaca al-Quran dan kaum muslimin amnya.

(ii) Kesalahan yang kedua ini dinamakan Kesalahan Tersembunyi (Al-Lahnul Khofiyyu).Kesalahan dari jenis ini ialah kesalahan-kesalahan yang tidak membawa kepada perubahan makna.Contohnya jika kita meninggalkan dengung pada hukum bacaan Idgham atau Ikhfa’,tidak dapat menentukan kadar harakat mad dengan tepat atau tidak dapat membaca sifat huruf itu dengan sempurna.

Sekiranya kesalahan-kesalahan ini berlaku dalam bacaan sembahyang,ia tidaklah sampai merosakkan sembahyang.Namun nasihat saya,anda jangan memandang  remeh pekara ini.Walaupun ia tidak sampai merosakkan sembahyang,kita patut meninggalkannya kerana hukumnya makruh dan aib disisi ahli pembaca al-Quran dan akan melenyapkan keindahan bacaan al-Quran.

Ia dinamakan kesalahan yang tersembunyi kerana kesalahannya hanya dapat dikesan oleh ahli-ahli pembaca al-Quran sahaja sedangkan kaum muslimin amnya tidak dapat mengesan kesalahan tersebut.

Kesimpulannya,saya nasihatkan anda belajarlah ilmu tajwid supaya bacaan al-Quran tersebut dibaca dengan betul sepertimana ianya diturunkan kepada nabi kita Muhammad s.a.w.